Mayat tiga beranak mati dibunuh dibedah siasat



Bedah siasat ke atas mayat tiga beranak yang mati dibunuh di Pulau Li Hua Jumaat lepas telah dijalankan di bilik mayat Hospital Sibu pada jam 11.10 pagi, semalam.

Tiga beranak yang mati itu ialah Ling Yung Ming, 40, anak perempuannya Christine Tiang Soon Ai, 14 dan seorang anak lelaki, Victor Tiang Soon Heng, 2. Yung Ming dan dua anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina di Bukit Aup di sini pada Khamis ini iaitu sama tempat dengan adiknya iaitu Ling Tong Hock, ibunya Leong Nyuk Lan dan dua anak Tong Hock, David Ling dan Amy Ling yang mati dibunuh di Jalan RTM pada 3 Januari tahun lalu.

Sehingga berita ini ditulis petang semalam, keputusan bedah siasat ketiga-tiga mayat itu masih belum diketahui. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail berkata pihaknya kini giat menjalankan siasatan terhadap Yung Ming sama ada terlibat dalam rancangan membunuh diri bersama suspek iaitu suaminya, Tiang Lee Yee, 43. “Kami akan melakukan siasatan daripada pelbagai sudut dan berdasarkan bahan bukti yang ada. “Suspek juga ada memaklumkan kepada pihak kami bahawa isterinya turut merancang bersamanya untuk membunuh diri mereka dan keluarga akibat bebanan hutang seperti yang dilaporkan oleh anaknya yang masih hidup iaitu Tiang Soon Thai, 17,” katanya.

Bagaimanapun, Shafie berkata keputusan siasatan masih belum diketahui lagi dan segala kebenaran masih lagi belum terjawab dan pihaknya giat menjalankan siasatan. “Saya meminta orang ramai jangan membuat sebarang andaian kerana pihak polis masih menjalankan siasatan. “Banyak andaian telah dibuat orang ramai sebelum ini dan ia dibimbangi akan mengganggu siasatan. “Selagi kami menjalankan siasatan, apa-apa spekulasi mengenai kes adalah dianggap tidak benar,” tegasnya.

Mengenai notis bunuh diri yang ditemui, beliau berkata, ia akan dihantar ke Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia untuk diterjemahkan. “Ini kerana notis itu ditulis dalam bahasa Cina,” katanya.

Sumber: Borneo Post


tandatangan

No comments

Powered by Blogger.