Sistem Pegangan Tanah Di Sarawak
Jenis Sistem Pegangan Tanah Di Sarawak
Terdapat dua jenis sistem pegangan tanah di Sarawak iaitu:
i) Freehold Freehold bermaksud tanah yang diberi milik oleh kerajaan untuk tempoh yang berkekalan. Pengeluaran surat hak milik jenis ini tidak dikenakan sebarang pembayaran seperti premium dan cukai tanah. Contohnya, surat hak milik yang dikeluarkan ke atas tanah hak adat Bumiputera di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (Bab 81). Namun demikian, sekiranya tanah ini dipindah milik luar dari keluarga waris terdekat, cukai tanah akan dikenakan.
ii) Leasehold Leasehold bermaksud tanah yang diberi oleh kerajaan untuk pemilikan bagi tempoh tertentu, misalnya untuk tempoh 60 tahun atau 99 tahun. Hak milik ini dikeluarkan di bawah Seksyen 13 Kanun Tanah Negeri (Bab 81) untuk pelbagai kegunaan seperti pertanian/perladangan, kediaman, komersial dan sebagainya. Surat hak milik akan dikeluarkan kepada pemilik dengan bayaran premium dan cukai tanah kepada kerajaan. Premium dan cukai tanah yang dikutip merupakan suatu sumber hasil negeri bagi menyediakan kemudahan-kemudahan penting dan pembangunan infrastruktur kepada masyarakat. Selepas tamatnya tempoh sesuatu pajakan/surat hak milik, tanah tersebut akan kembali menjadi tanah kerajaan.
Walau bagaimanapun, pemilik tanah boleh memohon pemberimilikan semula tanah tersebut. Tempoh pegangan hak milik adalah bergantung pada kegunaan tanah yang diluluskan serta dasar yang diamalkan oleh kerajaan.
Contohnya, di Sarawak, tempoh 60 tahun diberikan untuk kebanyakan kegunaan seperti perumahan, komersial, pertanian dan stesen minyak. Di Singapura pula, stesen minyak hanya diberikan tempoh 30 tahun. Di Sarawak, surat hak milik tanah yang diberikan tempoh 99 tahun lazimnya melibatkan pemberimilikan tanah yang memerlukan tempoh masa yang panjang dan kos yang tinggi bagi menyediakan tapak tanah sebelum dapat dibangunkan. Contoh, pemberimilikan tanah untuk tujuan pembangunan bercampur (mixed development) di kawasan yang melibatkan penambakan pantai.
(Sumber: Booklet Dasar Tanah Di Sarawak link
Tumpang tanya, berapakah bayaran untuk tanah 1000 kaki persegi selepas tamat tempoh?Untuk pegangan tanah 60 tahun sahaja
ReplyDelete